Gareth Southgate menjelaskan kekurangan penglibatan dalam menghasilkan jaringan dan tempoh beraksi membuatkannya mengetepikan Jesse Lingard dan Dele Alli daripada skuad England terbaru.

Lingard dan Alli merupakan dua bintang yang memperkuatkan England layak ke separuh akhir Piala Dunia 2018 tetapi bergelut untuk mengekalkan prestasi terbaik.

Penggempur Manchester United itu gagal menghasilkan gol atau bantuan jaringan dalam Liga Perdana Inggeris tahun ini sambil Alli tidak menjadi pilihan utama selepas pulih daripada kecederaan paha.

Pemain Liverpool, Alex Oxlade-Chamberlain, turut diketepikan sambil Southgate tidak mampu untuk menafikan hak James Maddison dan Mason Mount.

"Saya fikir Lingard melalui tempoh sukar. Dia sedar tentangnya," kata pengendali England itu.

"Saya tetap mempercayainya kerana dia seorang pemain yang beraksi baik dengan kami, tidak pernah mengecewakan. Prestasinya bersama England memang hebat.

"Sebagai pemain tengah menyerang, anda akan dinilai berdasarkan gol dan bantuan jaringan. Jika anda melihat Raheem Sterling dan Jadon Sancho, pencapaian mereka bagus.

"Ia satu tahap yang tinggi. Saingan lebih getir berbanding 18 bulan lalu kerana anda memaksa pemain sejak awal, memberikan peluang dan membolehkan mereka menyinar.

"Lingard merupakan pemain yang anda percaya boleh kembali ke dalam skuad tetapi apabila melihat nama yang disebutkan, ia membuktikan persaingan."

Dia menambah: "Oxlade-Chamberlain mirip kepada Alli, di mana musimnya tidak begitu bagus buat mereka. Namun, kami mengharapkan mereka untuk mencabar beberapa bulan lagi.

"Untuk meletakkan mereka bermakna saya perlu mengetepikan pemain yang beraksi dengan baik, sama ada Mount atau Maddison. Mereka bersaing dengan pemain ini.

"Tidak kira bila anda bertanya siapa yang diketepikan, siapa yang akan saya masukkan. Ia satu tindakan sukar. Saya rasa semua pemain sedar keperluan keputusan yang dibuat."