Pertahanan Manchester United, Victor Lindelof, tidak terganggu dengan kritikan bekas pengurus The Red Devils, Jose Mourinho.

Mourinho, yang membawa masuk Lindelof ke United, mengkritik pertahanan Sweden itu sewaktu hadir dalam siaran televisyen ketika skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer itu tewas 2-0 di tangan West Ham United.

Dia mendakwa Lindelof mudah dibuli oleh penggempur lawan kerana kelemahan bola di udara, sebagai menambah kenyataan yang dikeluarkan oleh Gary Neville sebelum itu.

Namun, Lindelof tenang dengan kenyataan tersebut sambil menyifatkan ia sesuatu yang perlu ditempuh seorang pemain United.

"Bagi saya, ia tidak menjadi masalah. Saya mudah dengannya," katanya.

"Sentiasa akan ada orang ramai yang bercakap. Apabila anda beraksi untuk kelab ini, orang ramai sentiasa akan mengkritik corak permainan anda.

"Bagi saya, ia tidak pernah menjadi satu masalah walaupun ketika saya beraksi dengan baik. Ia sebahagian daripada tugas, semua orang memiliki pendapat sendiri.

"Saya hanya cuba menjalankan tugas dan tidak fokus kepada perkara lain. Saya tidak sedar atau tahu tentangnya sehingga anda memberitahu saya. Itu cara saya menjalani kehidupan dan fokus kepada tugas.

"Jika anda beraksi untuk United, ia sebahagian daripadanya. Jika anda tidak beraksi dengan baik dan dengar tentangnya, itu normal.

"Saya dapat melihat masa depan, sebab itu saya menandatangani kontrak baru. Saya gembira dengannya. Kami mempunyai sesuatu yang bagus sedang diusahakan dan saya mahu memenangi trofi besar dengan kelab ini. Itu sasaran saya sejak hari pertama."