Gabriel Jesus gembira dengan peluang untuk menjadi kapten Brazil menjelang aksi pemanas badan menentang Croatia malam ini sambil rakan sepasukannya, Neymar, dijangka turut berada dalam senarai skuad.

Penyerang Manchester City berusia 21 tahun itu akan memakai lilitan ketua pasukan apabila Brazil bertemu Croatia dalam aksi persahabatan antarabangsa di Anfield.

Pengurus Brazil, Tite, telah melakukan sistem penggiliran untuk tugas kapten sejak mengambil alih pasukan pada 2016 dan Jesus adalah pemain terbaru yang akan mengetuai gergasi Amerika Selatan itu.

"Saya terkejut apabila dipilih sebagai kapten tetapi menerimanya kerana ia normal. Ia penuh dengan tanggungjawab," katanya.

"Danilo berjenaka dengan saya tentang kapten pasukan dan saya memberitahunya bahawa jika dia tidak melakukan hantaran lintang dengan baik, saya akan menjerit ke arahnya. Ia sekadar jenaka.

"Saya berpeluang untuk menyarung jersi pasukan kebangsaan dan jurulatih telah menjelaskan bahawa saya akan menjadi ketua di atas padang. Aksi pada malam ini akan menyaksikan saya selaku kapten. Saya akan mengambil tanggungjawab ini. Ia bukan mudah tetapi saya harus menerimanya."

Dalam masa sama, Jesus juga mengakui dirinya teruja apabila diberikan jersi nombor 9 yang ikonik dengan nama bintang-bintang legenda, sebelum ini.

"Saya tidak menjangkakan akan bergelar pemain bola sepak, ia hanya satu impian. Begitu juga dengan nombor 9. Saya pernah mengimpikannya.

"Saya berpeluang menggunakan nombor yang pernah digunakan oleh ramai bekas penyerang Selecao dan mencipta sejarah. Saya teruja untuk mengikuti langkah mereka," tambahnya.

Brazil diundi dalam Kumpulan E dan dijadualkan bertemu Switzerland pada 17 Jun, Costa Rica (22 Jun) serta Serbia (22 Jun).