ANGERS 0 MARSEILLE 3

Marseille merampas kedudukan teratas Ligue 1 apabila menewaskan Angers 3-0 di Stade Raymond-Kopa awal pagi tadi untuk memintas juara bertahan, Paris Saint-Germain (PSG).

Pertahanan sayap kiri, Jonathan Clauss, menjaringkan satu gol dan mencetuskan dua jaringan lain untuk Marseille ke tangga teratas buat seketika sebelum PSG melayani kunjungan Nice awal pagi esok.

Pasukan tuan rumah, Angers, mendominasi permainan sepanjang 35 minit pertama tetapi tidak dapat menyempurnakan sebarang peluang, di mana Nabil Bentaleb muncul pemain paling hampir melakukannya menerusi percubaan ke 'near post'.

Kegagalan itu, bagaimanapun, mula memberikan padah buat mereka tidak lama kemudian.

Beberapa saat selepas Adrien Hunuo melepaskan percubaan yang melambung tinggi, Clauss secara tiba-tiba memecahkan kebuntuan buat pelawat selepas menerima lintangan Luis Suarez sebelum melakukan gelecekan dan menewaskan penjaga gol, Yahia Fofana pada minit ke-35.

Suarez kemudian turut mencatatkan nama sebagai penjaring pada minit ke-50, kali ini dengan memanfaatkan kelicikan Clauss memintas bola daripada pertahanan lawan.

Clauss sekali lagi memainkan peranannya dalam mencetuskan jaringan buat Marseille pada minit ke-59, kali ini dengan disudahkan Gerson.

Biarpun tidak turun dengan kekuatan penuh -- di mana ketua jurulatih, Igor Tudor, dan pemain tengah, Nuno Tavares, digantung perlawanan -- Marseille berhasil mengekalkan kelebihan mereka sehingga penghujung perlawanan untuk menjadi pendahulu baru Ligue 1 -- sekurang-kurangnya untuk tempoh 24 jam.