TERENGGANU FC 0 NEGERI SEMBILAN 0

Terengganu FC dan Negeri Sembilan FC terikat tanpa jaringan dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak sebentar tadi.

Keputusan itu juga menyaksikan Negeri Sembilan terlepas peluang untuk menyamai pungutan mata pendahulu liga, Johor Darul Ta'zim (JDT), tetapi sekurang-kurangnya masih dapat memintas Sabah FC untuk berada di tangga kedua liga biarpun sudah beraksi lebih dua perlawanan.

Perlawanan di Kuala Nerus itu terpaksa dihentikan selama hampir sejam berikutan cuaca hujan lebat dan berpetir -- tidak lama selepas penyerang Terengganu, Tchetche Kipre, terlepas peluang berharga di depan gawang lawan biarpun hanya perlu menewaskan penjaga gol, Syihan Hazmi Mohamed, pada minit ke-13.

Sebaik perlawanan bersambung, Terengganu kembali menguasai permainan sambil Negeri Sembilan lebih memilih untuk bertahan tetapi lintangan Nik Sharif Haseefy pada minit ke-36 gagal ditolak masuk Kpah Sherman.

Terengganu hampir berada di depan sebelum ke bilik persalinan, namun Kipre sekali lagi terlepas peluang, kali ini selepas menerima lambungan Sherman.

Negeri Sembilan mula mengubah rentak permaianan dalam babak kedua dan Gustavo Almeida hampir memecahkan kebuntuan pada minit ke-70 tetapi rembatan leretnya ke penjuru kiri gawang Rahadiazli Rahalim sedikit tersasar.

Pemain kebangsaan, Faisal Halim, melakukan gerakan solo menarik dari sebelah kiri pada minit ke-74 tetapi sentuhan terakhirnya dihadang Syihan Hazmi untuk kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan pungutan satu mata.

Dengan itu, Negeri Sembilan melonjak ke tangga kedua dengan 20 mata, dua mata di belakang JDT dan satu mata di mengatasi Sabah, manakala Terengganu pula di tangga ketujuh dengan 10 mata tetapi berkelebihan empat perlawanan dalam tangan.

Skuad Peteh itu seterusnya akan berdepan Pahang manakala Negeri Sembilan pula akan bertemu Sabah hujung minggu ini.