Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari, gembira dengan kejayaan skuad Harimau Selatan itu mencatatkan kemenangan ke-10 musim ini apabila menewaskan Kelantan United FC (KUFC) 6-0 di Stadium Sultan Ibrahim malam tadi.

Menurut Solari, kemenangan itu dilihat bakal menyuntik semangat kesebelasan pemainnya bagi mengharungi perlawanan-perlawanan yang jauh lebih mencabar pada masa akan datang.

“Di permulaan musim, saya tidak dapat gambarkan bagaimana perjalanan skuad ini tetapi kami berjaya melakukannya perlawanan demi perlawanan dan lihat sahaja pencapaian kami hari ini.

“Sebelum perlawanan, saya juga telah beritahu pemain bahawa mereka memiliki peluang kali ini untuk menang dan ternyata ia menghasilkan kemenangan ini.

“Bagaimanapun, segala yang dilakukan hari ini sebenarnya merupakan persiapan kami bagi mengharungi perlawanan-perlawanan akan datang yang pastinya jauh lebih mencabar,” katanya dalam sidang media sejurus tamat perlawanan itu.

Untuk rekod, aksi Liga Super semalam menyaksikan JDT melakar kemenangan 6-0 ke atas KUFC dengan menyaksikan tonggak import, Berson Da Silva, mencatat jaringan hatrik pada minit ke-8, 61 dan menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-69, selain Fernando Forestieri meledak dua gol pada minit ke-22 dan masa kecederaan selain satu gol dijaringkan Leandro Velazquez menerusi sepakan penalti pada minit ke-76.

Kemenangan itu juga menyaksikan skuad Harimau Selatan itu kian mengukuhkan cengakaman di puncak Liga Super dengan 30 mata hasil 10 kemenangan berturut-turut musim ini.

Mengulas mengenai aksi Bergson dan Forestieri yang dikatakan seperti agak ‘tamak’ ketika berada di depan pintu gol lawan, Solari berkata, ia adalah sesuatu yang lumrah bagi mana-mana pemain di posisi penyerang.

“Saya sendiri merupakan bekas penyerang dan bila berada di depan pintu gol memiliki peluang, sudah pasti saya mahu melakukan percubaan.

“Apa pun, mereka berdua (Bergson dan Forestieri) menunjukkan gandingan yang baik malam tadi dan diharapkan prestasi itu berterusan,” katanya.

Sementara itu, penolong jurulatih KUFC, Nazrulerwan Makmor, berkata pihaknya perlu realistik dengan keputusan berkenaan berdasarkan reputasi gah yang dimiliki JDT ketika ini.

Malah katanya, kesebelasan skuad Sang Kijang Hijau itu diharap dapat belajar, khususnya daripada segi taktikal, menyerang dan beberapa elemen baik yang dipraktikkan skuad Harimau Selatan itu.

“Kalau ikutkan dia (JDT) boleh jaringkan sembilan gol, kita kena realisitik, kena belajar...yang baik kita ambil.

“Lagi pun, kami bermain dengan pasukan yang berkualiti dan memang nampak jurang antara pasukan kami dengan JDT...nasib kena 6-0 kalau 8-0 tak tahu nak letak muka kat mana,” katanya.

Kredit: Sinar Harian