Jurulatih PKNS FC, E. Elavarasan, menyasarkan enam mata penuh dalam dua perlawanan sulung Liga Super ketika berdepan Melaka United dan Pulau Pinang dalam usaha menjauhi zon penyingkiran.

Persaingan di dasar liga kini dilihat lebih terarah kepada empat pasukan membabitkan PKNS, Melaka, Sarawak dan Pulau Pinang.

PKNS, Melaka dan Sarawak khususnya terikat 11 mata, cuma perbezaan jaringan meletakkan skuad Semut Merah di tangga kesembilan manakala Pulau Pinang tercorot dengan enam mata.

Justeru, Elavarasan mengakui jika mereka berjaya mencapai dua kemenangan bermula Sabtu ini apabila bertemu Melaka serta Pulau Pinang (11 Julai), ia akan membolehkan kelab dari Lembah Klang itu menjarakkan diri daripada zon penyingkiran.

"Dua perlawanan selepas ini lebih sengit berbanding ketika kami bertemu dua pasukan di tangga teratas.

"Ini kerana mereka mahu kekal dalam Liga Super dan sudah pasti mereka akan menganggap pertembungan dengan kami ibarat perlawanan akhir.

"Mereka mahu mendapatkan mata dan kalau kami memungut mata penuh, situasi itu lebih baik untuk kami," kata Elavarasan.

PKNS tidak dapat mempertaruhkan khidmat pemain tengah yang baru diikat kembali dari Melaka, Khairu Azrin Khazali, kerana digantung satu perlawanan selepas mengutip tiga kad kuning.

Namun, Elavarasan tidak resah tanpa Khairu Azrin kerana masih mempunyai pilihan lain untuk menggerakkan bahagian tengah.

"Kami perlu bersabar untuk menggunakan khidmatnya.

"Bagaimanapun, saya masih mempunyai pemain lain yang mampu menampung bahagian tengah."