Ketua jurulatih Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak, ternyata kecewa dengan aksi terburuk The City Boys setelah ditundukkan Penang FC 0-1 dalam saingan Liga Super di George Town semalam.

“Saya percaya ini adalah permainan terburuk dalam tempoh dua tahun ini," katanya.

Dalam aksi di Stadium Bandaraya itu, The City Boys turun tanpa dua tonggak, Declan Lambert dan Zhafri Yahya, yang kini bersama skuad Harimau Malaya bagi kejohanan Piala Raja Thailand 2022.

Jurulatih kelahiran Croatia itu turut mengakui benteng pertahanan dan jentera serangan yang goyah menjadi antara punca pasukan itu mempamerkan aksi kurang memuaskan.

"Setiap perlawanan kalau tidak berada pada tahap (kekuatan pemain) 100 peratus tidak boleh menang. Ini permainan kedua berturut-turut yang kami tidak dapat menang,” ulasnya.

Dalam pada itu, pengendali Penang FC, Datuk Zainal Abidin Hassan, memuji pemainnya yang mempamerkan kesungguhan luar biasa apabila membantu pasukan itu meraih tiga mata berharga.

Menurutnya, perlawanan itu ibarat soal hidup dan mati pasukannya bagi membangkitkan semangat serta mengembalikan kepercayaan penyokong terhadap prestasi skuad Harimau Kumbang itu yang kian merosot kebelakangan ini.

“Alhamdulillah (ini perlawanan) hidup dan mati pasukan pada malam ini dan tidak semestinya masa hidup dan mati sahaja bermain begini tetapi pemain memberi segala-galanya dengan sepenuh hati mereka.

“Tiap-tiap pemain telah berkorban walaupun kita banyak terlepas peluang keemasan dan ada juga terdapat kelalaian tetapi akhirnya kita dapat menjaringkan gol.

“Kemenangan ini amat penting kerana apabila pasukan 'down' dan berada dalam keadaan tertekan selain memudahkan saya menjalankan pasukan ini dalam perlawanan seterusnya,” katanya.

Kredit: Sinar Harian