Harry Kane menegaskan masa sudah tiba buat Tottenham memberikan sokongan kepada Nuno Espirito Santo dan memastikan musim Liga Perdana Inggeris (EPL) mereka kembali ke landasan.

Penyerang England itu hadir ke dalam perlawanan sebagai pemain gantian melakar hatrik ketika membnatu pasukannya menang 5-1 ke atas Mura dalam Liga Persidangan Europa awal pagi tadi.

Kane menjadi pemain pertama Spurs meledak hatrik sebagai pemain gantian sejak Ronny Rosenthal pada Piala FA 1995.

Penyokong Spurs berharap mereka dapat mengekalkan rentak apabila bertemu Aston Villa Ahad ini, selepas Kane gagal menemui jaringan dalam lima aksi pertama saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Dengan tekanan yang meningkat kepada ketua jurulatih, Nuno setelah tiga kekalahan liga berturut-turut dan dibolosi sembilan gol, Kane mengatakan perlawanan bertemu Villa akan menjadi kunci untuk mengubah nasib mereka.

"Kita sebagai pemain dan kakitangan perlu bersatu dan bekerja keras," katanya kepada BT Sport. "Persembahan kami baru-baru ini tidak bagus, tetapi kami perlu mencuba untuk mengubahnya pada perlawanan seterusnya.

"Setiap penyerang mahu menjaringkan gol. Saya tidak menjangkakan dapat menjaringkan hatrik dalam perlawanan ini. Mudah-mudahan, kami dapat mengulangi persembahan ini dalam perlawanan liga pula."