GLIMT 6 ROMA 1

Jose Mourinho sedia bertanggungjawab atas kekalahan besar 1-6 Roma kepada Bodo/Glimt dalam Liga Persidangan Europa, awal pagi tadi.


Keputusan mengejut di Norway itu berlaku berikutan Roma menurunkan barisan kedua yang sama sekali tenggelam, mujur mereka masih menguasai tempat kedua Kumpulan C selepas tiga perlawanan.

Buat kali pertama dalam karier pengurusan sepanjang terbabit dalam 1,008 perlawanan, pasukan bimbingannya melepaskan enam gol.

Mourinho mengakui meletakkan harapan tinggi ke atas barisan pemainnya, lantas mengingatkan wartawan mengapa dia sering mengetengahkan muka yang sama dan bukannya menjadi seorang pengurus yang gemar menggilirkan pemainnya.

"Saya memutuskan untuk menurunkan barisan ini. Saya bertanggungjawab," katanya.





"Adalah jelas saya telah melakukannya dengan niat yang baik dan dijadikan sebagai misi serampang dua mata.

"Saya mahu memberi peluang kepada pemain yang berusaha bersungguh-sungguh dan jarang diturunkan. Atas dasar mempertimbangkan skuad dan perlawanan yang dihadapi, saya merehatkan pemain yang kerap beraksi.

"Kemudian, kami tewas kepada sebuah pasukan yang mempunyai lebih banyak kualiti daripada kami. Ia mudah. ​​Pasukan utama Bodo lebih baik daripada barisan kedua kami.

"Sekiranya saya perlu menurunkan pemain yang sama dengan kerap maka saya akan melakukannya. Saya juga percaya pendekatan ini adalah satu risiko yang besar. Namun, dalam perlawanan di peringkat kumpulan, dengan enam perlawanan selain enam mata sudah diperoleh dan dua lagi aksi akan berlangsung di Rom, saya memutuskan untuk membuat rombakan ini.

"Saya sedar mengenai keterbatasan beberapa pemain kami, itu bukan perkara baru tetapi saya masih mengharapkan sesuatu yang lebih baik."

Begitupun, pemenang dua medal Liga Juara-Juara (UCL) itu yang perlu mempersiapkan anak buahnya bagi menghadapi Napoli dalam Serie A, Isnin depan, menganggap apa yang terjadi sudah menjadi sejarah.