MIFA 1 SABAH 1

Hajat Sabah untuk merampas tangga kedua Liga Perdana tidak kesampaian apabila berkongsi satu mata dengan MISC-MIFA dalam aksi tunggal di Stadium MBPJ, malam ini.


Hujan pada babak pertama tidak merencatkan usaha kedua-dua pasukan untuk memburu kemenangan.

Begitupun, baik MIFA mahupun Sang Badak lebih selesa melancarkan percubaan ke arah pintu gol dari luar kotak penalti.

Penantian gol perlawanan akhirnya terlerai menerusi kelicikan Hector Ramos yang menghidu peluang di dalam kotak penalti untuk meletakkan Sabah di hadapan ketika permainan berusia 15 minit.

Namun, kelebihan itu tidak bertahan lama ekoran kegagalan pelawat gagal merantai pemain tengah, B. Tinagaran, yang meluru di depan gol lalu menanduk sepakan sudut, seterusnya mengikat kedudukan 1-1 pada minit ke-29.

Babak kedua permainan bagaimanapun tertangguh hampir setengah jam ekoran hujan yang semakin lebat.

Sejurus permainan bersambung, aksi berlangsung seimbang namun dalam tempoh hampir 25 minit, hanya satu percubaan menarik yang menyaksikan tandukan Tinagaran, sekali lagi berpunca daripada sepakan sudut tetapi kali ini diakhiri tandukan liar.

Baki tempoh permainan memperlihatkan MIFA memperkemaskan asakan mereka namun gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan.