Phil Foden akan terlepas kunjungan England ke laman Hungary dan Jerman bagi saingan Liga Negara-Negara Eropah selepas didapati positif COVID-19, demikian disahkan pengurus pasukan itu, Gareth Southgate.

England akan bertemu Hungary di Arena Puskas awal pagi esok bagi memulakan saingan Kumpulan A3, Liga Negara-Negara Eropah sebelum bertemu Jerman di Munich awal pagi Rabu ini tetapi Foden tidak akan terlibat dengan kedua-dua perlawanan itu selepas diarah untuk meninggakan kem The Three Lions.

Foden melewati kempen gemilang bersama kelabnya, Manchester City -- yang memenangi gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali keempat sepanjang enam musim terakhir -- dengan penglibatannya menghasilkan 25 jaringan (14 gol dan 11 bantuan jaringan).


Dia merupakan salah seorang daripada tiga pemain City yang dapat mencecah angka dua digit daripada segi jaringan dan bantuan gol sepanjang kejohanan itu (selain Kevin de Bruyne dan Gabriel Jesus).

Southgate, bagaimanapun, berharap agar pemain berusia 22 tahun itu dapat kembali diturunkannya menjelang aksi menentang Itali di Stadium Molineux hujung minggu depan.

"Phil Foden, malangnya, diuji positif COVID-19, jadi dia perlu meninggalkan kami," kata Southgate kepada wartawan.

"Harap-harp dia dapat bersama kami selepas kami pulang daripada Jerman.

"Ia akan bergantung kepada gejala dan bagaimana keadaan pernafasannya apabila kembali menjalani latihan.

"Sudah pasti ia akan memberikan kesan yang berbeza buat setiap individu.

"Saya fikir kesemua pasukan di dunia sudah terbiasa dengan situasi seperti ini," katanya.