HUNGARY 0 ITALI 2

Roberto Mancini gembira tugasnya untuk membangunkan semula Itali meniti di landasan tepat dengan menjuarai Kumpulan A3, Liga Negara-Negara Eropah (UNL), awal pagi tadi.


Skuad Azzuri mengungguli kumpulan maut itu yang menyaksikan England tersingkir sementara Jerman menduduki tempat ketiga, hasil kemenangan 2-0 ke atas Hungary di Budapest menerusi jaringan Giacomo Raspadori dan Federico Dimarco.

Kedudukan itu menyaksikan mereka layak bertemu Belanda dalam separuh akhir UNL tahun depan bagi mengubati kekecewaan gagal ke Piala Dunia Qatar, November ini.

“Ia adalah satu perlawanan yang sukar,” katanya dalam sidang akhbar pasca perlawanan.

“Semuanya sempurna sehinggalah 20 minit terakhir. Kami perlu meningkatkan keupayaan kami untuk mengawal permainan selama 90 minit kerana kami bekerja keras untuk mendahului 2-0, jadi penderitaan pada 20 minit terakhir seperti itu tidak masuk akal. Kami sepatutnya terus berusaha untuk memburu jaringan ketiga.





“Saya kehilangan suara saya kerana saya kerap menjerit dalam 20 minit terakhir."

Mancini masih memberi kepercayaan kepada beberapa kuda tua di bahagian pertahanan tetap tumpuannya adalah di jentera serangan yang membabitkan Raspadori dan bintang remaja, Wilfried Gnonto.

"Ia adalah satu pencapaian luar biasa, pemain saya mengasak Hungary dari awal hingga akhir permainan dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka atas tepukan gemuruh mereka terhadap kami juga.

"Marco Rossi melakukan tugas yang menakjubkan, ia bukan satu kebetulan jika anda dapat menewaskan England dan Jerman.”

“Pemain di bangku simpanan juga sedia beraksi dan secara umumnya ini adalah sebuah skuad. Saya tidak bereksperimen, saya sudah mengusahakan wajah baru Itali buat beberapa ketika. Mungkin ia tidak begitu menyerlah ketika ini tetapi ia mungkin kelihatan lebih baik pada Jun depan.

"Kami meletakkan dua penyerang muda pada malam ini jadi jika mereka mengekalkan kualiti itu dan bertambah baik dalam tempoh dua tahun akan datang, mereka boleh menjadi dahsyat."