Kylian Mbappe menjaringkan gol pembukaan yang menakjubkan ketika Perancis meraih kemenangan 2-0 ke atas Austria dalam aksi Liga Negara-Negara UEFA di Paris awal pagi tadi.

Mbappe mempamerkan kelajuan dan kualiti fizijal yang luar biasa sepanjang perlawanan sebelum menamatkan saingan dengan cemerlang untuk meletakkan penyandang juara dunia itu di hadapan pada minit ke-56 di Stade de France.

Olivier Giroud yang dipanggil semula menggandakan kelebihan mereka sembilan minit kemudian apabila Perancis berusaha untuk mengelak penyingkiran daripada peringkat teratas Liga Negara-Negara, saingan yang mereka menangi tahun lepas.

Pasukan kendalian Didier Deschamps masih perlu memenangi perlawanan terakhir Kumpulan A1 mereka di tempat lawan di Denmark esok untuk memastikan mengelak penyingkiran, manakala kelayakan ke pusingan akhir empat pasukan Jun depan sudah tidak dapat dicapai.

Mbappe menemui gawang dalam tempoh 90 saat namun dinafikan kerana berada dalam kedudukan ofsaid, dan dia menjadi ancaman utama buat pelawat sepanjang separuh masa pertama.

Perancis sepatutnya mendahului pada selang masa tetapi Austria diselamatkan oleh penjaga gol, Patrick Pentz selepas menafikan percubaan Perancis dua kali pada minit ke-35.

Pentz menepis sepakan gunting Aurelien Tchouameni ke atas palang dan kemudian turun rendah untuk menyelamatkan percubaan susulan Antoine Griezmann.

Sebelum itu tuan rumah -- yang memberikan penampilan sulung kepada bek tengah Monaco, Benoit Badiashile dan rakan sekerja kelabnya, pemain tengah Youssouf Fofana -- menyaksikan kebimbangan kecederaan mereka meningkat apabila pemain Barcelona, ​​Jules Kounde gagal meneruskan permainan.

Penjaga gol Milan, Mike Maignan, juga diturunkan pada separuh masa untuk digantikan oleh Alphonse Areola dari West Ham United, dan Perancis mendahului tidak lama kemudian.

Mbappe mendapatkan hantaran Giroud di sebelah kiri sebelum menerjah masuk melepasi pertahanan lawan, mengatasi Marcel Sabitzer dan merembat bola melepasi Pentz.

Giroud kemudian menandakan kepulangannya bersama skuad kebangsaan dengan menanduk masuk hantaran lintang Griezmann untuk menjadikan kedudukan 2-0 dengan gol antarabangsanya yang ke-49 -- Dia kini hanya ketinggalan dua daripada rekod Perancis, Thierry Henry (51).