Jaringan separuh masa pertama oleh Adam Szalai memberikan Hungary kemenangan 1-0 ke atas Jerman dalam saingan Liga Negara-Negara di Red Bull Arena awal pagi tadi.

Kemenangan itu mengukuhkan kedudukan Hungary di puncak kumpulan, skuad yang masih belum tewas itu hanya memerlukan seri dalam aksi terakhir ketika bertemu Itali untuk memastikan muncul juara kumpulan.

Bermain dalam aksi kedua terakhir sebelum bersara daripada bola sepak antarabangsa, Szalai memberikan Hungary gol pendahuluan selepas 17 minit.

Szalai, yang berkhidmat bersama Basel selepas menikmati peluang beraksi bersama lima kelab Bundesliga, mendapatkan sepakan sudut buat Hungary ketika bersaing mendapatkan bola daripada pertahanan Real Madrid, Antonio Rudiger.

Dan dia sekali lagi berjaya mendapatkan hantaran untuk menampan masuk bola dengan buku lalinya.

Jerman memiliki satu peluang dalam separuh masa pertama apabila penyerang Bayern, Thomas Muller, namun tandukkannya tepat kepada penjaga gol, Peter Gulacsi.

Di sebalik tuan rumah kekal mendominasi permainan, Hungary kekal sebagai ancaman utama ketika melancarkan serangan balas, dengan penjaga gol Jerman, Marc-Andre ter Stegen, menafikan percubaan Martin Adam daripada menggandakan jaringan selepas 72 minit.

Joshua Kimmich hampir menyamakan kedudukan, namun percubaannya pada minit ke-86 itu sekadar melewati palang gol.

Kekalahan tersebut merupakan yang pertama buat Jerman di bawah kendalian Hansi Flick, yang menang sembilan dan seri empat kali dalam 13 penampilan.