Jamal Musiala tidak lagi mahu memandang ke belakang dengan memilih menyarung jersi Jerman berbanding England menjelang pertembungan kedua-dua pasukan, awal pagi esok.

Mereka akan melengkapkan jadual Kumpulan C, Liga Negara-Negara Eropah (UNL) di Stadium Wembley dengan hakikat skuad The Three Lions sudah tergelincir ke divisyen kedua.

Tetapi Musiala sudah pasti menjadi tumpuan hangat berikutan pernah bermain untuk England di peringkat di bawah umur 21, 19 sebelum beralih mewakili Jerman.

"Terdapat ramai pemain yang boleh mempunyai kerjaya yang menakjubkan dan untuk itu saya rasa sistem remaja England sangat bagus, untuk membina bakat ini dan memastikan mereka menjadi lebih baik," katanya dalam sidang akhbar pra-perlawanan seperti yang dipetik daripada MailOnline.

"Apabila anda berkata (mengenai) patah hati, beberapa rakan saya menghantar mesej kepada saya memandangkan mereka berasakan saya sepatutnya mewakili England.




"Kami bergurau tetapi saya rasa mereka tetap gembira dengan keputusan saya.

"Saya pasti beberapa peminat England juga tidak akan berasa senang tetapi saya fikir ia bermakna saya telah melakukan perkara yang bagus sekiranya sesetengah orang susah hati saya tidak memilih negara mereka."

Tambahnya: "England mempunyai banyak kualiti.

“Saya rasa kami boleh katakan ini adalah perlawanan yang sempurna kerana kami memerlukan perlawanan ini untuk melangkah ke Piala Dunia dengan penuh keyakinan.

"Saya rasa England mempunyai skuad yang menakjubkan, pemain yang hebat. Itulah sebabnya semua orang agak terkejut dengan keputusan mereka ketika ini."