Gareth Southgate bersikap realistik bahawa tiada kepastian terhadap kedudukannya biarpun diangkat sebagai salah seorang ketua jurulatih England terbaik.

Skuad The Three Lions mungkin mengakhiri kempen Liga Negara-Negara Eropah (UNL) tanpa kemenangan, awal pagi esok, apabila menduduki tangga terbawah Kumpulan C yang kini diterajui Hungary, Itali diikuti Jerman.

Lantas, Southgate sedar jawatannya tetap belum terjamin sekalipun memiliki reputasi membawa England ke separuh akhir Piala Dunia 2018 dan muncul finalis Euro 2020.

Bercakap dalam sidang media pra-perlawanan menentang Jerman di Stadium Wembley, awal pagi esok, Southgate percaya masa depannya boleh berubah dengan sekelip mata, malah dipecat sebelum temasya berprestij di Qatar, November depan.

"Saya akan dinilai berdasarkan apa yang terjadi dalam Piala Dunia," katanya yang memeterai perjanjian hingga 2024.

"Kontrak dalam bola sepak adalah tidak relevan. Anda boleh menyambung kontrak tiga hingga lima tahun sekali pun, tapi kalau keputusan yang diraih tidak memadai, maka sudah tiba masanya kedua-dua pihak berpisah.




"Begitu juga dengan saya. Mengapa saya mahu bersikap sombong dengan memikirkan bahawa kontrak akan menjadi kedudukan saya?"

"Kami memahami bagaimana mood boleh berubah dengan keputusan boleh mempengaruhinya.

“Saya realistik tentang itu dan saya akan dinilai berdasarkan apa yang kami lakukan di Qatar dan saya sangat gembira untuk dinilai dengan cara sedemikian.

"Sejarah adalah sejarah dan anda dinilai pada perlawanan seterusnya dan kejohanan seterusnya.”