DENMARK 0 PERANCIS 2

Didier Deschamps menganggap pengalaman menjadi pemisah yang menyaksikan Denmark mengalahkan Perancis 2-0 di Copenhagen, awal pagi tadi.


Pertemuan Liga Negara-Negara Eropah (UNL) itu ibarat perlawanan pemanas badan menjelang aksi kedua-dua pasukan dalam Kumpulan D, Piala Dunia Qatar, 27 November depan.

Begitupun, pengendali Perancis itu berkata taktikal yang diterapkannya bukan satu persoalan dan tidak panik sekalipun terlepas tujuh peluang menarik untuk barisan mudanya ketandusan kemenangan sejak Mac lalu.

"Saya tidak fikir kami makin karam, kami juga mempunyai banyak peluang tetapi penyudah kami tidak berkesan, kami melakukan beberapa kesilapan apabila bermain dari belakang.




"Ini adalah pasukan muda Perancis, majoriti pemain tidak mempunyai pengalaman di peringkat tertinggi," katanya kepada RMC Sport selepas perlawanan.

"Ia bukan soal formasi tetapi apabila anda mempunyai empat sepakan penjuru dan tinggal seorang pemain Denmark sahaja yang dibiarkan bersendirian di atas, maka anda boleh bermain dengan tiga, lima mahupun 12 pemain di benteng, ia tidak akan mengubah apa-apa.

"Tidak perlu risau, mempunyai pemain berpengalaman di pentas antarabangsa akan membawa kebaikan kepada kami. Tidak perlu risau, ia sukar untuk semua orang.

"Malam tadi saya menonton perlawanan lain, terdapat pasukan gergasi turut kalah. kami tidak sepatutnya menganggap diri kita lebih baik daripada orang lain. Kami perlu berjuang."