Pengerusi Liga Bolasepak Amatur (AFL), Datuk Wira Yusoff Mahadi, mengumumkan saingan Liga M3 musim depan bakal dinaik taraf ke saingan semi-pro.

Ini bermaksud setiap pasukan akan diwakili oleh sebahagian besar pemain yang mempunyai kontrak sepenuh masa bersama kelab.

AFL turut mengesahkan sebanyak 14 pasukan sudah mengesahkan penyertaan bagi kempen musim depan yang dijadualkan berlangsung sekitar Februari.

Antara pasukan baru yang sah sertai Liga M3 termasuklah Melaka dan Sarawak United fc.

"Ini salah satu cara untuk kami naik taraf pasukan ini apabila mereka mempunyai pemain yang bermain bola sepenuh masa walaupun saya tahu ada beberapa pasukan yang (memiliki) pemain kontrak penuh.




"Yang penting kami hendak tengok kualiti pasukan ini yang akan naik ke Liga Super. Jadi turun naik akan berlaku pada 2023.

"Jadi persiapan pasukan mestilah menyediakan pasukan yang baik untuk saingan di peringkat atas.

"Kami juga ada (pelantar) Piala FA jadi mestilah pasukan ini mempunyai kualiti untuk berjumpa wakil Liga Super," dalam sidang media di Wisma FAM hari ini.

Dalam perkembangan sama, Yusoff yang juga timbalan presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) mengakui badan induk itu tidak mencampuri urusan logo baru kelab Melaka.

Yusoff mengakui hanya mengetahui berkenaan logo baru tersebut selepas ia tular di media sosial.

"Saya cuma melihatnya setelah menjadi tular. Kami tidak dimaklumkan ada pertukaran yang berlaku.

"Apa pun ia hak presiden MUSA untuk menentukan hala tuju dan apa jua perubahan dalam melaksanakannya," katanya lagi.