Kejohanan Liga Bola Sepak KDM Malaysia 2018/2019 akan berlangsung pada setiap hujung minggu bermula 26 Januari ini.

Sebanyak 32 pasukan mengambil bahagian dalam kejohanan edisi kedua itu yang dibahagikan kepada lapan kumpulan, dengan saingan peringkat kumpulan dijalankan secara liga satu pusingan.

Dua pasukan teratas dari setiap kumpulan akan mara ke pusingan 16 yang akan dijalankan secara kalah mati selepas perlawanan timbal balik.

Cabutan undi menentukan kumpulan pasukan di Stadium Likas semalam menyaksikan juara edisi pertama 2014-2015 dan juara Piala Sumbangsih musim ini, Keningau diundi dalam Kumpulan F bersama Inanam, Sandakan dan Sugut.

Juara Piala FA edisi pertama, Papar, pula bersaing dalam Kumpulan D bersama Ranau, Kedamaian dan Kuala Penyu.

"Jadual perlawanan juga sudah ada tetapi perlu dikemas kini sebelum dimuktamadkan. Saya fikir semua boleh selesai minggu depan untuk kejohanan ini dijalankan seperti yang dirancang.

"Pertandingan liga dijadualkan selesai pada April. Selepas itu kejohanan diteruskan dengan pertandingan Piala FA," kata setiausaha kejohanan, Jellysius Saimpon, selepas mempengerusikan mesyuarat pengurus pasukan dan cabutan undi.

Kejohanan itu adalah anjuran Pertubuhan Kadazan Dusun Murut (KDM) Malaysia dengan kerjasama Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) Sabah.

Ia adalah kejohanan tempatan terbesar dengan tawaran hadiah keseluruhan lebih RM300,000.

Kumpulan dan pasukan yang menyertai Liga Bola Sepak KDM Malaysia 2018/2019:

Kumpulan A: Bandaraya KK, Sipitang, Sepanggar, Kiulu.
Kumpulan B: Kota Marudu, Kimanis, Sook, Penampang.
Kumpulan C: Kudat, Pitas, Liawan, Putatan.
Kumpulan D: Ranau, Kedamaian, Kuala Penyu, Papar.
Kumpulan E: Telupid, Labuan, Nabawan, Kundasang.
Kumpulan F: Inanam, Keningau, Sandakan, Sugut.
Kumpulan G: Kemabong, Tongod, Kepayan, Kota Belud.
Kumpulan H: Melalap, Lahad Datu, Tambunan, Semporna.