Bolos dua gol di awal permainan diakui jurulatih PJ Rangers, Hassan Sazali Mohd Waras, sebagai punca kekalahan 2-3 kepada Terengganu City (TCFC) di tempat lawan, malam tadi.

Menurutnya, situasi itu menyebabkan skuad kendaliannya terpaksa berputih mata untuk sekurang-kurangnya mengutip satu mata di Kuala Terengganu.

Walaupun berpuas hati secara keseluruhannya, bekas penolong jurulatih skuad B-23 negara itu menyifatkan ketumpulan penyudah menjadi pemisah di antara kedua-dua pasukan.

“Kami bolos terlalu awal. TCFC dapat dua peluang awal dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh mereka.

“Majoriti pemain PJ Rangers masih mencari-cari rentak kerana corak Liga FAM lebih tertumpu kepada 'direct football' yang agak berbeza berbanding Liga Super dan Liga Perdana,” katanya.

Dengan kekalahan itu, PJ Rangers tergelincir ke kedudukan keenam Kumpulan B, hanya satu mata daripada dua perlawanan sebelum aksi seterusnya bertemu Marcerra United, 18 Mac ini.