FRANKFURT 1 BARCELONA 1

Xavi Hernandez menyeru penyokong Barcelona supaya menyemarakkan lagi Camp Nou bagi menyuntik barisan pemainnya selepas seri 1-1 dengan Eintracht Frankfurt dalam pertemuan pertama suku akhir Liga Europa.


Ansgar Knauff memberikan Eintracht gol pendahuluan dengan penyudah menarik pada awal separuh masa kedua di Deutsche Bank Park, sebentar tadi, sebelum Ferran Torres menyamakan kedudukan selepas bertukar hantaran dengan Frenkie de Jong.

Skuad Bundesliga itu kehilangan Tuta yang dibuang padang ketika permainan berbaki lebih 10 minit gara-gara kad kuning kedua tetapi Barca tetap buntu untuk menterjemahkan kelebihan yang ada.

Begitupun, dengan mengelak kekalahan, mereka kini belum tewas selepas 14 perlawanan -– rentak terbaik mereka sejak Januari-Mei 2019 ketika di bawah era Ernesto Valverde.

Barca mempunyai hampir dua pertiga penguasaan bola tetapi kurang separuh daripada percubaan dimiliki Eintracht yang sering menghadirkan ancaman berterusan menerusi serangan balas.

Xavi berasakan pasukannya terjejas dengan keadaan padang dan berharap satu sambutan yang memberangsangkan di Catalonia dalam aksi timbal balik minggu depan bagi menyuntik moral Blaugrana dalam mengintai tempat ke separuh akhir.

"Mereka adalah lawan yang sangat fizikal. Mereka mara begitu deras ketika menyerang balas. Kami tidak dapat membuat hantaran dengan lancar selain keadaan padang juga tidak membantu kami," kata pengurus Barca itu kepada Movistar.

“Kami masih pulang dengan agak berpuas hati dan Camp Nou perlu menjadi gegak gempita seperti di stadium mereka.

"Biasanya pasukan yang mengawal permainan akan mencipta lebih banyak peluang lagi tetapi kami tidak dapat mematahkan serangan balas mereka yang cukup berbahaya. Kami sudah diberi amaran -- mereka telah menyingkirkan pasukan seperti Real Betis dalam pusingan 16."



Gerard Pique terhincut-hincut dalam separuh masa pertama akibat kecederaan pangkal paha tetapi Xavi belum dapat menawarkan maklumat terkini mengenai bek tengah itu.

Sergio Busquets, yang akan menghadiahkan sepakan penalti atas terjahannya ke atas Rafael Borre sebelum dibatalkan video bantuan pengadil (VAR), mengakui Barca perlu beraksi lebih baik dalam pertembungan kedua kelak.

"Gol itu merangsang kami memandangkan kami datang untuk menang tetapi ia sangat sukar," katanya,

"Ada aspek yang perlu diperbaiki. Kami akan melakukan yang lebih baik lagi dalam perlawanan kedua dibantu sokongan padu peminat kami dan keadaan padang yang pastinya akan menjadi lebih baik serta lebih pantas.

"Barca sentiasa menjadi calon untuk memenangi segala-galanya. Kami melalui tempoh bukan yang terbaik tetapi kami sedang melakukannya dengan baik.

"Kami menghormati semua pasukan. Apa sahaja boleh berlaku dan kami akan cuba menang."