WEST HAM 3 GENK 0

Pengurus West Ham, David Moyes, enggan terbawa-bawa dengan permulaan sempurna pasukannya dalam Liga Europa sambil menegaskan matlamat mereka ialah ke peringkat kalah mati.


The Hammers merekodkan tiga kemenangan dalam Kumpulan H selepas mengalahkan kelab Belgium, Genk, 3-0 di tempat sendiri, awal pagi tadi selepas menumbangkan Dinamo Zagreb dan Rapid Vienna.

Kelab London itu muncul pasukan kedua daripada Liga Perdana Inggeris (EPL) yang memenangi kesemua tiga perlawanan awal dalam kempen Liga Europa tanpa dibolosi gol bagi mengulangi pencapaian Tottenham pada 2013-14.

Kali terakhir pasukan yang meraih pencapaian ini adalah Sevilla yang akhirnya menawan kejohanan itu pada 2019-20, namun Moyes tidak akan membuat perbandingan.

"Saya agak tenang kerana kami harus bertandang ke Genk dan Vienna selepas ini," kata Moyes dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

"Saya tidak akan menganggap ia sebagai satu jaminan.

"Saya berpesan kepada anak buah bahawa saya mahu berada dalam saingan Eropah selepas Krismas ini. Itulah rancangan saya pada tahun ini. Kami memerlukan beberapa mata lagi untuk layak walaupun bukan untuk mengungguli kumpulan. Tetapi jika kami mendapatkannya, ia akan menjadi permulaan yang baik.

"Pemain telah melakukan tugas dengan cemerlang. Mereka benar-benar berjaya. Kami tidak memenangi perlawanan-perlawanan ini dengan mudah. ​​Kesemuanya sukar. Ia berlangsung sengit walaupun kami muncul pasukan yang lebih baik dalam ketiga-tiga perlawanan. Kami perlu terus berusaha untuk mendapatkan mata tambahan bagi memastikan kemaraan."






Dua gol pertama West Ham hadir menerusi Craig Dawson dan Issa Diop yang berpunca daripada sepakan percuma Aaron Cresswell.

Cresswell telah mencetak lapan bantuan gol daripada situasi bola mati sejak awal musim, lebih banyak daripada pemain EPL yang lain.

Dawson pula telah merobek gawang lawan sebanyak lima kali untuk berdiri sebaris dengan John Stones yang mewakili Manchester City.

Gol tandukan Angelo Ogbonna daripada situasi bola pegun yang dijana Jarrod Bowen juga seakan-akan mengulangi jaringan mereka ke atas Everton, minggu lalu.

"Mungkin gerakan seperti bola mati kami lebih berkesan di Eropah," kata Moyes ketika ditanya mengenai ancaman pasukannya.

"EPL memiliki ramai pertahanan yang mantap selain penyerang yang mampu mempertahankan bola pegun.

"Sebelum menentang Everton, saya tidak pasti kami ada mencetak gol musim ini melalui gerakan seperti itu, oleh itu kami bukanlah melakukannya dalam setiap perlawanan tetapi untungnya kami meraih gol kemenangan di Everton menerusinya dan ia berlaku lagi pada malam ini.

"Craig Dawson hebat, Issa Diop juga menemui sentuhan penyudah pada malam ini. Pertahahan tengah kami kerap menyumbangkan gol jadi saya gembira dan semoga ia berterusan."