Jadual perjalanan Manchester United ke Real Sociedad dalam Liga Europa dipinda ke gelanggang neutral di Turin, Itali.

Pasukan asuhan Ole Gunnar Solskjaer itu sepatutnya menuju ke San Sebastian untuk pertembungan pusingan 32 berkenaan pertengahan minggu depan.

Begitupun, ia dipindahkan dari Anoeta ke Stadium Allianz, Juventus, berikutan sekatan Kerajan Sepanyol ke atas pelancong dari United Kingdom berkaitan penularan mutasi COVID-19.



Sepak mula perlawanan itu dikekalkan sementara perlawanan timbal balik di Old Trafford, 26 Februari depan, akan diteruskan seperti yang dirancangkan.

Kedua-dua perlawanan itu akan berlangsung gelanggang tertutup.

"UEFA (Persatuan Bola Sepak Eropah) ingin mengucapkan terima kasih kepada Real Sociedad dan Manchester United atas kerjasama dan bantuan mereka yang erat dalam mencari jalan keluar untuk masalah ini, serta Persekutuan Bola Sepak Itali dan Juventus atas sokongan mereka dan persetujuan untuk menjadi tuan rumah perlawanan ini," menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh badan pentadbir bola sepak Eropah itu.

Peraturan serupa di Jerman menyebabkan perlawanan Liga Juara-Juara (UCL) membabitkan Manchester City dan Liverpool dalam pusingan 16 menentang Borussia Monchengladbach dan RB Leipzig turut dipinda ke Budapest.