Zon Pantai Timur berada di puncak liga selepas menamatkan saingan hari pertama pusingan akhir Liga Kem Bolasepak Remaja Allianz (AJFC) 2019 semalam.

Pasukan itu mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus selepas menumpaskan Zon Sabah 2-1 dan Zon Selatan 2-0.

Meskipun hanya melakukan persiapan selama tiga hari, ketua jurulatihnya, Fairul Hisyam Mustafah, gembira dengan prestasi yang dipamerkan anak buahnya.

"Di peringkat akhir ini, ia merlibatkan enam pasukan terbaik dari setiap zon.

"Ia amat sengit dan jika diikutkan, tahap kesemua pasukan sama sahaja.

"Kami hanya boleh berharap kerana apa yang membezakan ialah kemampuan teknikal pemain dan kemampuan jurulatih untuk menerapkan sistem yang berjaya," katanya.

Fairul Hisyam turut berjanji untuk memperbaiki kelemahan pasukannya menjelang pertemuan dengan Zon Tengah dan Zon Utara, hari ini.

"Ada pemain kami yang telah bersama sejak lama dulu dan apabila tiba di pusingan akhir, mereka boleh bergabung bersama-sama.

"Itu yang menyebabkan mereka serasi dan mudah menerima apa yang saya ajar," tambahnya.