Bakal bergelar ejen bebas, Stephan Lichtsteiner, mendedahkan bahawa dia akan meninggalkan juara Itali, Juventus, dan saingan Serie A untuk mendapatkan cabaran baru.

Lichtsteiner -- yang bakal menamatkan kontraknya bulan depan – telah memenangi enam kejuaraan Serie A sejak tiba dari Lazio pada 2011 dan pemain berusia 34 tahun itu semakin hampir untuk menjulang trofi liga ketujuh setelah menundukkkan Bologna 3-1, awal pagi tadi.

Juventus kini tujuh mata mengatasi pencabar utama liga, Napoli, yang bakal berdepan Torino pada malam ini dan Lichtsteiner meberitahu wartawan: “Ia adalah 14 hari terakhir saya di Juve. Saya memerlukan cabaran dan motivasi baru.

“Saya telah meningkatkan mentaliti ketika ini. Sewaktu mula-mula menyertai Juve, saya tidak tahu bagaimana perasaannya beraksi buat pasukan ini memandangkan terdapat tekanan untuk mendapatkan kejayaan,” katanya yang bakal menambah trofi Piala Itali kelima sekiranya menundukkan AC Milan dalamfinal.

“Bersama Lazio, kami harus bertahan di bahagian bawah tetapi Juve mengamalkan kawalan di tengah. Masa depan saya mungkin akan bersama kelab di luar Itali tetapi masih belum menjelaskan ke mana destinasi saya memandangkan saya belum menandatangani sebarang kontrak.”