Maybank mengekal momentum untuk kemenangan ketiga Liga Hoki Malaysia (LHM) apabila mudah meratah Nur Insafi HT 4-0 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Terengganu Hockey Team (THT) pula memadam kekecewaan tewas kepada UniKL, Ahad lalu, apabila penyerang kebangsaan, Faizal Saari, kembali dengan penyudah berbisa menerusi hatrik pukulan sudut penalti untuk kemenangan 4-0 ke atas UiTM HA.

TNB turut meraih tiga mata dengan menundukkan pasukan adik, TNB Thunderbolts, 4-2.

Young TNB Thunderbolts put up some hard resistance before bowing to their TNB seniors 4-2 in the TNBMHL2021 this evening...

Posted by Malaysian Hockey Confederation on Tuesday, March 16, 2021


Sementara itu, Hasrat juara Piala Vivian May Soars 2020, PKS Uniten-KPT, untuk membuka tirai saingan Liga Hoki Wanita Malaysia (LHMW) semalam dengan nota positif tidak kesampaian.

Mereka sebaliknya terpaksa akur dengan satu mata selepas seri 2-2 dengan sebuah lagi pasukan pilihan, PDRM Blue Warriors.

Penjaring saat akhir, Nurmaizatul Hanim Syafi Sheik Fuad, muncul wira apabila menyelamatkan pasukannya daripada kekalahan.

Namun, dia mengakui pasukannya masih cuba membiasakan diri di atas padang selepas lama berehat.

"Mungkin sebab lama tidak beraksi dari hotel lagi kami berasa gugup.

"Jadi dari situ kami perlu bising, jika tidak kami akan lambat panas," katanya.

Ketua jurulatih PKS Uniten-KPT, Lailin Abu Hassan, pula menganggap semangat pasukannya yang melakukan kebangkitan adalah sesuatu yang perlu dibanggakan.

Bagaimanapun, mereka perlu lebih bersedia meskipun bakal menghadapi pasukan bukan pilihan, Young Tigress.

"Apa bila kami ketinggalan, pemain bersungguh-sungguh untuk dapatkan gol.

"Bagaimanapun, kami perlukan mata kerana tidak mampu keciciran mata lagi memandang liga dijalankan sepusingan sahaja," katanya.