THT 6 HOCKADEMY KL 0

Pasukan Hoki Terengganu (THT) tidak berdepan masalah untuk mengutip mata penuh dalam aksi terakhir Liga Hoki Malaysia (LHM) di gelanggang sendiri selepas membenam Hockademy KL 6-0 hari ini.

Kemenangan itu dibantu penjaring terbanyak, Jang Jonghyun, yang mencipta hatrik kelima musim ini, sekali gus mencerahkan peluang THT untuk bergelar naib juara.

Dalam pertemuan di Kuala Terengganu itu, penjaga gol Hockademy KL, Azrul Omar, bekerja keras untuk menafikan pukulan sudut penalti Jonghyun dan Faizal Saari.

Azrul, begitupun, tertewas pada minit keenam apabila Shahrin Izzuddin Shamsuri yang tidak dikawal menyudahkan hantaran Abid Sufian Mat Ruslee untuk gol pembukaan THT.

THT kemudian menjarakkan kelebihan hasil dua pukulan sudut penalti Jang Jonghyun pada minit ke-26 dan ke-35, sekali gus memimpin perlawanan 3-0.

Pada minit ke-43, tuan rumah yang meneruskan serangan hampir memperoleh gol keempat, namun Azrul tangkas menafikan pukulan kencang Muhammad Umar Bhutta.

Hasrat pemain import dari Pakistan itu untuk menjadi penjaring berhasil sebaik menerima umpanan lambung Faizal dari sebelah kiri dan melakukan pukulan leret pada minit ke-53.

Pintu gol pelawat bocor lagi, giliran Faizal (m-57) menambah koleksi jaringan peribadinya selepas membuat tindakan susulan situasi kelam-kabut di depan pintu gol lawan.

Kemenangan 6-0 THT dilengkapkan dengan hatrik Jonghyun melalui pukulan sudut penalti ketika aksi berbaki lima saat untuk ditamatkan.

"Memang kami sudah menjangkakan untuk menang dan itu sebabnya beberapa pemain simpanan diturunkan hari ini.

"Mereka bermain baik untuk membalas kepercayaan saya, jadi mereka ada peluang untuk disenaraikan dalam separuh akhir Piala TNB nanti," kata jurulatih THT, Dhaarma Raj Abdullah.

Keputusan lain:
TNB THUNDERBOLTS 3 NURINSAFI-KEDAH 3
UITM 0 TNB 0
MAYBANK 0 UNIKL 4


Kredit foto: Pasukan Hoki Terengganu (THT)