Penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski, percaya dia mampu berkembang sejajar dengan usianya dan tidak mempunyai keperluan untuk membuktikan keupayaannya di luar Bundesliga.

Pemain kebangsaan Poland itu bercakap demikian selepas memenangi Anugerah Kasut Emas Eropah susulan menjadi penjaring terbanyak benua itu dalam musim 2020-21.

Lewandowski menjaringkan 41 gol daripada 29 penampilan Bundesliga untuk mengatasi rekod Gerd Muller sebagai pemain paling banyak menjaringkan gol dalam satu musim liga utama Jerman.

Ia lebih 11 gol berbanding yang dilakukan Lionel Messi dalam musim LaLiga terakhirnya bersama Barcelona dan lebih 12 berbanding yang dihasilkan Cristiano Ronaldo bersama bekas kelabnya, Juventus, musim lalu.

Pemenang Anugerah Pemain Terbaik Tahunan UEFA dan FIFA itu hanya gagal menjaringkan dalam empat daripada 29 perlawanan liga dan menjaringkan lebih daripada satu gol dalam 10 perlawanan.

Pemain berusia 33 tahun itu dikaitan untuk menyertai Real Madrid dan Chelsea dalam jendela perpindahan lalu tetapi dia tidak memiliki sebarang keperluan untuk meninggalkan Arena Allianz buat ketika ini.

"Saya tidak perlu membuktikan kemampuan saya dalam liga lain," katanya ketika mengambil trofi anugerah terbarunya itu.

"Saya masih boleh bersaing dengan pasukan terbaik daripada liga lain dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

"Fokus saya 100 peratus untuk Bayern Munich. Saya tidak memikirkan mengenai perkara lain selain pasukan saya," katanya.