Robert Lewandowski gembira apabila diiktiraf sebagai Pemain Lelaki Terbaik Anugerah Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi tahun 2020 selepas sekian lama menantikan gelaran individu.

Penyerang Bayern Munich itu mengetepikan Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo untuk memenangi anugerah utama FIFA itu selepas membantu juara Jerman berkenaan menggondol gelaran 'treble' musim lalu.

Dia menjaringkan 55 gol musim lalu dan 60 jaringan sepanjang tempoh penilaian anugerah itu, lebih 20 berbanding Ronaldo dan 28 berbanding Messi.

Ronaldo pernah dua kali memenangi anugerah itu manakala Messi merupakan pemenang edisi lalu tetapi kemenangan kali ini memihak Lewandowski.

"Saya berasa amat hebat," kata Lewandowski yang masih terkejut ketika menerima trofi kemenangannya daripada Persiden FIFA, Gianni Infantino, malam tadi.

"Saya amat berbangga dan gembira. Sejujurnya, ia hari yang hebat buat saya dan juga buat kelab dan rakan sepasukan saya.

"Anugerah ini juga buat rakan sepasukan saya, jurulatih dan Bayern Munich secara umumnya. Ia perasaan yang amat hebat, amat beremosi.

"Jika anda memenangi anugerah seperti ini, gelaran yang dikongsikan bersama Messi dan Ronaldo, ia amat sukar dipercayai dan amat bermakna buat saya.

"Suatu masa dulu, saya masih ingat saya menantikan sesuatu seperti ini dan kini saya dapat memenangi anugerah seperti ini.

"Ia amat bermakna tanpa mengambil kira dari mana asal usul anda, apa yang penting adalah apa yang telah anda lakukan untuknya," katanya.

Lewandowski membantu Bayern menjuarai Bundesliga, DFB-Pokal dan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dan kejuaraan peringkat Eropah itu dianggap sebagai momen terbaikya bagi tahun 2020.

"Untuk seluruh dunia, tahun 2020 amat mencabar.

"Tumpuan terhebat adalah ketika memenangi final UCL -- hari yang amat istimewa, yang memberikan perasaan yang luar biasa. Ia momen yang amat hebat.

"Kemudian memenangi piala dan kesemua gelaran yang kami mampu menangi. Kami memiliki jurulatih yang hebat, pasukan yang hebat dan kami semua bekerjasama menuju ke satu sasaran yang sama," katanya lagi.