Robert Lewandowski kini menggambarkan dia boleh kekal dengan Bayern Munich sehingga tiba waktu persaraannya nanti.

Masa depan Lewandowski bersama pasukan gergasi Jerman itu menimbulkan persoalan sebelum ini dengan dia turut dikaitkan dengan pasukan Sepanyol, Real Madrid.

Pemain kebangsaan Poland itu merupakan penjaring terbanyak Bundesliga dalam dua daripada tiga musim lalu.

Dia turut mengekalkan prestasi itu dengan menjaringkan 22 gol dalam kesemua kejohanan musim ini.

Walaupun mengakui terdapat beberapa perkara yang tidak memuaskan hatinya musim ini, Lewandowski menyatakan dia kini kembali memberikan fokus penuh kepada Bayern.

"Secara peribadi, saya berasakan menamatkan karier sebagai pemain di Bayern merupakan pilihan utama saya," katanya kepada SportBild.

"Tidak terlintas untuk saya mengubah keputusan itu.

"Saya akui terdapat beberapa perkara yang berlaku sepanjang musim panas ini, namun perkara itu sudah berlalu.

"Saya berkemungkinan kekal di sini untuk tempoh yang panjang.

"Saya amat menyayangi Bayern.

"Selepas tamat segala khabar angin dan masalah yang tiba sebelum ini, saya ingin memberikan sepenuh jiwa saya kepada FC Bayern, 100 peratus," katanya.

Sebagai rekod, Lewandowski menyertai Bayern daripada Borussia Dortmund pada 2014.