POLAND 4 LITHUANIA 0

Robert Lewandowski menyerlahkan sentuhan hebat menjelang Piala Dunia Russia apabila meledak dua gol dalam kemenangan 4-0 Poland ke atas Lithuania, awal pagi tadi.


Penyerang Bayern Munich itu menyumbat dua gol pada babak awal -- gol keempat dalam tiga perlawanan antarabangsa terakhir -- sebagai asas kepada pemain berusia 21 tahun, David Kownacki, dan pemain gantian, Jakub Blaszczykowski, melebarkan kedudukan.

Anak buah Adam Nawalka itu akan menaruh harapan besar ke atas Lewandowski berdasarkan usaha penyerang itu sepanjang 45 minit aksi di Warsaw dan dia kelihatan sudah bersedia untuk menangani harapan tinggi.

Dia menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-19 menerusi jaringan jarak dekat hasil gerakan bijak Maciej Rybus sebelum menggegar gawang menerusi sepakan percuma pada minit ke-32.

Gol antarabangsa pertama Kownacki hadir dengan cara yang mudah pada minit ke-71. Tonggak Sampdoria itu menyudahkan gerakan klasik selepas bertukar hantaran pantas di dalam kotak penalti.

Poland mengakhiri permainan penuh keyakinan itu dengan jaringan keempat selepas sistem bantuan video (VAR) mengesan bola terkena tangan Algis Jankauskas ketika permainan berbaki lapan minit, lalu Blaszczykowski menyempurnakan penalti itu untuk mereka meraih kemenangan kedua dalam tiga perlawanan menjelang aksi berdepan Senegal dalam Kumpulan H, Selasa depan.