Robert Lewandowski memenangi Anugerah Pemain Terbaik Lelaki Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk tahun kedua berturut-turut dalam satu majlis di ibu pejabat badan induk dunia itu di Zurich, awal pagi tadi.

Penyerang Bayern Munich itu mengetepikan dua calon lain, Lionel Messi dan Mohamed Salah, selepas kali terakhir memenanginya pada Disember 2020.

Lewandowski menjaringkan 58 gol dalam 47 perlawanan dalam sepanjang 2021 termasuk mengatasi dua rekod lama yang pernah dipegang oleh penyerang legenda Jerman, Gerd Muller.

Dia mengumpul 41 jaringan pada musim lalu dan sepanjang tahun pula meledak 43 gol Bundesliga.

Pada musim ini pula, bintang Poland itu sudah mengumpul 34 gol dalam 27 perlawanan termasuk sembilan gol di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara.