Robert Lewandowski percaya Bayern Munich akan kembali menemui rentak terbaik dalam tempoh "beberapa bulan" selepas menewaskan Borussia Dortmund menerusi penentuan sepakan penalti untuk menjuarai Piala Super-DFL, kelmarin.

Penjaga gol, Sven Ulreich, yang mengisi kekosongan yang ditinggalkan Manuel Neuer, merupakan wira Bayern kerana berjaya menepis sepakan Sebastian Rode dan Marc Bartra selepas perlawanan berakhir dengan keputusan seri 2-2 di Signal Iduna Park.

Skuad kendalian Carlo Ancelotti itu bangkit dua kali dalam pertembungan De Klassiker, dengan Lewandowski menafikan gol pembukaan Christian Pulisic.

Pierre-Emerick Aubameyang kembali meletakkan Dortmund di hadapan sebelum jaringan sendiri daripada penjaga gol Dortmund, Roman Burki, di penghujung perlawanan memaksa perlawanan ditentukan menerusi sepakan penalti.

Bayern hadir ke perlawanan ini dengan empat kekalahan daripada lima aksi persahabatan, termasuk kekalahan kepada AC Milan dan Liverpool.

Di sebalik persembahan yang kurang memuaskan berdepan BVB, Lewandowski yakin mereka akan kembali menemui sentuhan.

"Saya sangat gembira dengan kemenangan ini, ia merupakan kejuaraan pertama musim ini," katanya.

"Kami bermain dengan baik. Terdapat beberapa kesilapan tetapi ia adalah perlawanan pertama musim ini.

"Bayern perlu meningkatkan lagi mutu permainan dan yakin kami akan menjadi sempurna dalam tempoh beberapa bulan lagi."