Ketua jurulatih Jepun, Akira Nishino, bimbang dengan ancaman bintang Poland, Robert Lewandowski, yang bakal berdepan skuad kendaliannya menjelang aksi terakhir peringkat kumpulan, malam ini.

Skuad kendalian Adam Nawalka itu mengalami kempen yang mengecewakan di Russia, dengan kekalahan berturut-turut kepada Senegal dan Colombia meleburkan harapan mereka untuk ke pusingan 16.

Lewandowski dilihat kecewa kerana masih gagal mencetak sebarang jaringan walaupun mencipta 16 gol dalam 10 perlawanan kelayakan.

Nishino, yang memerlukan satu mata buat Jepun mara ke pusingan kalah mati, bimbang dengan keazaman pasukan lawan yang mahu mengakhiri saingan dengan kemenangan.

"Ini bukan perlawanan sagu hati," katanya. "Saya pasti Poland mahu menampilkan aksi terbaik dan mereka memiliki Lewandowski -- seorang penyerang bertaraf dunia. Dia akan mencari jaringan dalam perlawanan ini.

"Poland layak dari Eropah, sebuah pasukan yang berkualiti. Tetapi kami berjaya meraih mata dan ia melonjakkan semangat kami. Terdapat beberapa isu mengenai masalah mengenai bola tetapi kami berusaha untuk mempamerkan corak permainan Jepun," ujarnya.

Suhu di Volgograd dijangka melepasi 40 darjah Celsius tetapi Nishino tidak berasakan pemain-pemainnya akan mengalami masalah kecergasan.

"Ketika kami tiba semalam, saya agak terkejut dengan tahap kelembapan di sini. Ia merupakan lebih daripada jangkaan saya. Bagaimanapun, saya tidak berasakan kondisi fizikal pasukan akan terkesan," katanya.