Pengarah sukan AC Milan yang baru dilantik, Leonardo, menegaskan Gennaro Gattuso tidak ke mana-mana sambil menafikan sedang mengadakan rundingan dengan Antonio Conte.

Kedudukan Gattuso dilihat terancam susulan pelantikan Leonardo dengan bekas pelatih itu dilaporkan berusaha membawa masuk bekas pengurus Chelsea, Conte, ke San Siro.

Milan baru sahaja memperbaharui kontrak Gattuso menerusi perjanjian selama tiga tahun pada April lalu, sehubungan itu Leonardo tidak berniat untuk berpisah dengan pengurus berusia 40 tahun itu.

"Pandangan saya turut dikongsi kelab dan Gattuso orang pertama yang mendapat pengesahannya, perkara ini (masa depannya) tidak pernah dibincangkan," kata Leonardo yang pulang ke Milan dalam usaha kelab Serie A itu untuk terus merombak hierarki skuad utama di bawah pemilik baru, Elliott.

"Adalah sesuatu yang normal jika perkara ini berlegar apabila khidmat seorang jurulatih hebat boleh didapati tetapi tiada seorang pun daripada kami yang bercakap dengan Conte.

"Gattuso telah berkembang sebagai jurulatih, dia adalah orang Milan sejati dan sebab itulah kami mengekalkannya."

Gattuso dinaikkan pangkat daripada jawatan selaku ketua jurulatih pasukan Primavera (remaja) bagi menggantikan Vincenzo Montella sejak November lalu.

Dia memimpin Milan meraih tangga keenam Serie A untuk merebut slot dalam Liga Europa.