Leo masih cintakan Barcelona -- Presiden baru Barca harap Messi kekal

Muzaffar Musa
Mac 9, 2021 03:40 MYT
Joan Laporta optimis Lionel Messi akan kekal di Barcelona selepas sah dipilih sebagai presiden baru kelab gergasi LaLiga itu.
Laporta -- yang pernah memegang peranan sama dari 2003 hingga 2010 -- memenangi perebutan kerusi panas itu kelmarin selepas mengatasi dua pencabar lain, Victor Font dan Antoni Freixa, bagi menggantikan Josep Maria Bartomeu.
Tumpuan kini akan terarah kepada pemenang enam kali Anugerah Ballon d'Or, Lionel Messi, berikutan masa depannya yang semakin kabur di Camp Nou.
Messi dijangka akan meninggalkan pasukan itu secara perpindahan percuma pada penghujung musim ini dengan juara Ligue 1, Paris Saint-Germain (PSG) dan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City, antara yang disebut-sebut sebagai destinasi pilihan pemain bintang berusia 33 tahun itu
Selepas kemenangannya, Laporta berkata dalam ucapannya: "Hari ini merupakan ulang tahun ke-20 seorang remaja bernama Leo Messi melakukan penampilan pertamanya bersama pasukan Barcelona Infantil B (B12-13).
"Melihat pemain terbaik dunia itu datang untuk mengundi bersama anak lelakinya menjadi contoh untuk apa yang pernah saya katakan.
"Leo cintakan Barcelona. Itulah yang dapat digambarkan. Pemain terbaik dunia itu cintakan Barcelona.
"Harap-harap ia dapat membantunya untuk kekal di Barcelona. Itulah yang kami mahukan," katanya.

? Joan Laporta: "The fact that the best player in the world came to vote today, along with his son, is proof that Leo #Messi loves Barça." pic.twitter.com/plnEpSAlfu

— FC Barcelona (@FCBarcelona) March 7, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Barca kini ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu LaLiga, Atletico Madrid, yang memegang kelebihan satu perlawanan dalam tangan.
Skuad kendalian Ronald Koeman itu akan berdepan Athletic Bilbao dalam final Copa del Rey bulan depan dan perlu menterbalikkan defisit 1-4 ke atas PSG dalam perlawanan kedua pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi Khamis ini.
#Barcelona #Lionel Messi #LaLiga #Joan Laporta