Benteng Barcelona, Clement Lenglet, menerima panggilan pertama skuad Perancis tetapi pengendali, Didier Deschamps, tidak menyenaraikan nama Alexandre Lacazette dan Aymeric Laporte dalam senarai terbarunya.

Lenglet menyerlah dalam musim pertamanya di Barca, beraksi 43 kali bagi semua kejohanan dan mengharapkan penampilan sulung buat skuad kebangsaan ketika aksi persahabatan menentang Bolivia pada 2 Jun ini atau aksi kelayakan Euro 2020 berdepan Turki dan Andorra.

Laporte menikmati musim hebat apabila menjulang tiga gelaran domestik bersama Manchester City tetapi masih menunggu untuk menerima panggilan Deschamps sambil Lacazette -- yang menyumbat 19 gol buat Arsenal musim ini -- diketepikan oleh bintang Sevilla, Wissam Ben Yedder.

Ditanya ketika sidang media mengenai alasan dia memilih Lenglet berbanding Laporte, Deschamps berkata: "Kadangkala keputusan itu sukar. Saya tidak boleh nafikannya walaupun anda menyukainya,

"Pemain lain juga berhak untuk dipanggil dan Laporte salah seorang daripada mereka. Jika saya tidak memilih Lenglet, dia pasti berhak.

"Ia menjadi satu penghormatan buat kami. Ramai pemain di setiap posisi yang layak menjadi calon pemain Perancis."

Pengurus Perancis itu juga memanggil pertahanan Lyon, Leo Dubois, serta penjaga gol Lille, Mike Maignan, untuk pertama kali ke dalam skuad.

Bagaimanapun, nama seperti Nabil Fekir, Steve Mandanda, Presnel Kimpembe, Djibril Sidibe, Layvin Kurzawa dan Anthony Martial tidak disenaraikan dalam skuad akhir.

Selepas aksi persahabatan berdepan Bolivia, Perancis bakal bertandang ke Turki pada 8 Jun depan dan Andorra (11 Jun) tatkala mereka cuba untuk mengekalkan rekod 100 peratus dalam saingan kelayakan Kumpulan H.

Skuad Perancis: Alphonse Areola (Paris Saint-Germain), Benjamin Lecomte (Montpellier), Hugo Lloris (Tottenham), Mike Maignan (Lille), Lucas Digne (Everton), Clement Lenglet (Barcelona) Ferland Mendy (Lyon), Benjamin Pavard (Stuttgart), Leo Dubois (Lyon), Raphael Varane (Real Madrid), Samuel Umtiti (Barcelona), Kurt Zouma (Everton), N'Golo Kante (Chelsea), Blaise Matuidi (Juventus), Tanguy Ndombele (Lyon), Paul Pogba (Manchester United), Moussa Sissoko (Tottenham), Wissam Ben Yedder (Sevilla), Kingsley Coman (Bayern Munich), Olivier Giroud (Chelsea), Antoine Griezmann (Atletico Madrid), Kylian Mbappe (Paris Saint-Germain), Florian Thauvin (Marseille)