Pengurus Manchester United, Jose Mourinho, berkata dia menerima satu kiriman pesanan ringkas (SMS) daripada pihak tertinggi pasukan untuknya tidak mengendahkan laporan berkenaan pemecatannya.

The Daily Mirror sebelum ini melaporkan Mourinho bakal dipecat andai tewas kepada Newcastle United awal pagi tadi, satu laporan yang menimbulkan perbalahan pelbagai pihak.

Bekas kapten United, Gary Neville, menyelar pentadbiran pasukan yang didakwa membocorkan maklumat tersebut kepada wartawan, situasi yang sama dihadapi bekas pengurus, Louis van Gaal, pada 2016.

United kembali daripada ketinggalan untuk menewaskan Newcastle 3-2, namun pengurus kelahiran Portugal itu menafikan masa depannya bergantung kepada perlawanan tersebut.

"Mereka yang membaca akhbar yang berkait dengan media sosial mungkin menyangkakan saya akan dipecat.

"Jika saya tidak menerima SMS daripada pihak lembaga, saya juga akan percaya kepada laporan tersebut," kata Mourinho kepada talkSPORT.

Seperti kebiasaan, Mourinho menyindir wartawan dalam sidang media selepas perlawanan, khususnya apabila ditanya mengenai apa yang dilakukannya pada waktu rehat sehingga memberi kebangkitan menakjubkan kepada pasukan.

"Saya rasa anda akan tahu apa yang saya katakan kepada mereka.

"Jika anda mahu, anda akan tahu.

"Anda tahu segala-galanya. Apa yang betul, apa yang tidak. Saya yakin anda akan membuat beberapa panggilan dan akan tahu apa yang saya katakan semasa rehat," kata Mourinho.

Mourinho turut menyelar pihak media yang mempersoalkan kejujuran dan sikap profesional pemainnya.

"Terlalu benyak desas-desus, kamu mempersoalkan kejujuran dan sikap profesional pemain saya," tambahnya.