Pemain sayap Atletico Madrid, Thomas Lemar, gagal menepati jangkaan, demikian kata pengurus, Diego Simeone.

Pemain berusia 24 tahun itu, yang menyertai kelab berkenaan dengan perjanjian bernilai €70 juta (RM320.4 j) daripada Monaco pada Julai 2018, bergelut untuk mempamerkan prestasi tekal dalam LaLiga.

Pemain antarabangsa Perancis tersebut dikaitkan dengan perpindahan ke Arsenal bulan ini walaupun kecederaan hamstring mungkin merumitkan sebarang perpindahan berpotensi pada pertengahan musim ini.

Bercakap sebelum pertemuan liga dengan Levante awal pagi esok, pengurus itu tidak menyatakan sama ada Lemar akan dibenarkan meninggalkan kelab dalam jendela perpindahan bulan ini tetapi mengakui persembahan pemain itu mengecewakan.

"Fakta bercakap lebih baik daripada kata-kata. Lemar merupakan seorang pemain penting yang belum dapat mengembangkan permainannya tetapi mempunyai ciri-ciri yang tiada pada orang lain," kata Simeone dalam sidang akhbar.

"Ayuh berharap dia akan menempuhi masa yang baik sejurus kembali daripada kecederaan.

"Ketika ini, sama ada Lemar akan kekal atau tidak ... kita semua tahu cara ejen bekerja. Kelab pula berusaha daripada segi keperluan kelab tetapi sebagai pemain bola sepak, setiap kali dia cergas, dia beraksi lebih kerap berbanding tidak dapat bermain.

"Ciri-ciri yang ada padanya sering menggembirakan saya tetapi dia gagal memenuhi jangkaan."

Atleti telah dikaitkan dengan penyerang seperti Edinson Cavani daripada Paris Saint-Germain (PSG) dan pemain Borussia Dortmund, Paco Alcacer, berikutan ketumpulan penyudah musim ini.

Simeone bersikap terbuka dengan sebarang perpindahan tetapi belum bersedia membincangkan pemain yang tidak mewakili Atleti.

"Saban tahun, akan ada kemungkinan pemain meninggalkan atau tiba di kelab pada Januari," katanya.

"Kami telah bercakap dengan pihak atasan mengenai perkara ini, mengenai situasi yang kami hadapi dan ketika (peluang memancing pemain) berlaku, kami akan mengenal pasti mengenainya.

"Apa yang membimbangkan saya adalah apa yang berlaku ketika bertemu Levante. Selain corak permainan yang dipamerkan, kelab sedar mengenai apa yang telah kami bincangkan dan akan berusaha untuk membawa pemain terbaik buat kelab dan pasukan ini."

Apabila ditekan mengenai minat terhadap Cavani, beliau menambah: "Saya tidak akan bercakap mengenai pemain yang tidak berada dalam skuad kami."

Atleti kini di kedudukan keempat LaLiga selepas 18 perlawanan, tujuh mata di belakang pendahulu, Barcelona.




Editor: Shaiful Shamsudin