Yussuf Poulsen berkata RB Leipzig mengimpikan kejuaraan gelaran Bundesliga selepas meraih kemenangan dramatik bangkit daripada ketinggalan untuk menang 3-2 ke atas Borussia Monchengladbach.

Monchengladbach mendahului 2-0 selepas 20 minit semalam, tetapi Leipzig bangkit dengan tiga gol dalam separuh masa kedua -- termasuk jaringan kemenangan pada minit ke-93 daripada Alexander Sorloth.

Buat pertama kali dalam sejarah Bundesliga, Leipzig menang daripada ketinggalan dua jaringan.

Keputusan itu menyaksikan Leipzig ketinggalan dua mata di belakang Bayern Munich selepas juara bertahan itu menang 5-1 ke atas Cologne.


Leipzig, yang menamatkan saingan di tempat ketiga dalam dua saingan Bundesliga sebelum ini dan naib juara pada 2016-17, kini menang lima perlawanan liga berturut-turut sekaligus memberikan tekanan kepada Bayern.

"Semua mengidamkan kejuaraan. Terutama sekali apabila anda berada di puncak Bundesliga sejak empat musim sebelum ini," kata Poulsen.

"Sudah tentu semua orang memikirkannya tetapi kita mengetahui masih ada sepertiga musim lagi."

Cabaran kejuaraan Leipzig mula mendapat momentum, dengan Bayern kehilangan mata sebelum ini selepas pulang daripada memenangi Piala Dunia Kelab di Qatar.

Bagaimanapun, skuad Leipzig kendalian Julian Nagelsmann melihat kekalahan tersebut sebagai peluang mereka untuk mengejar juara bertahan.

"Kami telah mempamerkan aksi terbaik untuk menang," katanya lagi.

"Selepas perlawanan itu, tahap keyakinan kami sangat tinggi dan meletakkan kami dalam landasan terbaik."