Pengurus RB Leipzig, Ralph Hasenhuttl, bersedia untuk mengecewakan Bayern Munich pada awal pagi Isnin dan merampas mata daripada pendahulu Bundesliga itu buat kali pertama.

Dalam empat pertemuan sebelum ini, Leipzig tidak pernah menang, termasuk perlawanan melibatkan sembilan gol yang berakhir dengan keputusan 5-4 pada musim lalu.

Selepas mengharungi permulaan musim yang goyah, Bayern kembali membuktikan diri mereka selaku kuasa dominan Jerman kerana kemenangan ke atas Leipzig akan mengesahkan status juara bertahan buat mereka, sekurang-kurangnya untuk semusim lagi.

Bagaimanapun, Hasenhuttl bercadang untuk menyekat kemaraan anak-anak buah Jupp Heynckes di Red Bull Arena sambil menjanjikan sambutan dingin akan menanti mereka.

“Skuad kendalian Heynckes memiliki kelemahan yang cukup sedikit, jadi bukan sesuatu yang memeranjatkan apabila melihat kedudukan mereka ketika ini tetapi kami sangat kuat di laman sendiri.

“Sehingga kini, kami gagal meraih sebarang mata apabila bertemu Bayern, jadi kami bertekad untuk melakukannya kali ini.

“Bagus untuk bertemu Bayern selepas ini kerana tidak sukar untuk membuatkan anda berkobar-kobar bertemu mereka. Saya menjanjikan aksi yang sengit,” kata Hasenhuttl.

Dalam masa sama, Hasenhuttl juga menjelaskan empat rancangan dalam usaha menyekat skuad Bavarian itu.

“Saya mengharapkan empat perkara. Kekalkan jumlah pemain seperti Bayern di atas padang, tidak bolos, catatkan jaringan serta wisel ditiup serta-merta.”