Leicester City mengumumkan pelantikan Craig Shakespeare sebagai pengurus tetap kelab itu dalam tempoh tiga musim.

Shakespeare menggantikan Claudio Ranieri yang telah membantu kelab itu memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim 2016.

Biarpun Leicester gagal dalam tiga perlawanan terakhir liga, Shakespeare memenangi lapan daripada 16 perlawanan liga di bawah kendaliannya.

Pengurus berusia 53 tahun itu turut memacu Leicester ke suku akhir Liga Juara-Juara di mana mereka kalah tipis 2-1 kepada Atletico Madrid.

"Ini merupakan peluang menarik buat saya meneruskan langkah baru dalam karier dan terus bekerjasama dengan kelab dan kakitangan yang sangat rapat dengan saya," ujarnya.

"Saya berbesar hati di atas kepercayaan dan sokongan berterusan daripada pemilik dan ahli lembaga pengarah.

"Persiapan pra-musim kami dan kempen musim baru sedang berjalan, namun kami lebih terjamin dan memastikan kami bersedia untuk berjuang di tahap yang sepatutnya."

Shakespeare sebelum ini bertindak sebagai pembantu kepada Ranieri serta Nigel Pearson, dan Timbalan Pengerusi, Aiyawatt Srivaddhanaprabha, menghamburkan pujian terhadap pengetahuan luasnya mengenai Leicester City, secara tidak langsung menjadikan dia sebagai calon paling sesuai untuk menerajui kelab itu.

"Craig telah memperlihatkan semua kualiti kepimpinan, motivasi dan pengurusan bakat yang diperlukan untuk berjaya dalam bidang ini," kata Srivaddhanaprabha.