MANCHESTER UNITED 1 LEICESTER CITY 2

Pengurus Leicester City, Brendan Rodgers, memuji kemenangan yang dilabelnya sebagai cukup penting ke atas Manchester United, awal pagi tadi, untuk mencerahkan peluang kelayakan ke Liga Juara-Juara (UCL).


Gol daripada Luke Thomas dan Caglar Soyuncu membolehkan The Foxes meraih tiga mata penting dalam pemburuan tempat empat teratas.

Kemenangan itu juga secara tidak langsung mengangkat pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City, untuk ditabalkan juara.

Leicester kembali ke tangga ketiga dengan kemenangan itu dengan mengutip 66 mata selepas 36 perlawanan, mendahului Chelsea yang di kedudukan keempat dengan 64 mata selepas 35 perlawanan.

Peluang West Ham dan Liverpool -- masing-masing mengumpul 58 dan 57 mata selepas 35 dan 34 perlawanan -- pula semakin kabur berikutan kemenangan Leicester itu.

The Foxes dikecewakan untuk ke kancah UCL musim lalum justeru kemenangan janggal di Old Trafford, awal pagi tadi, membawa erti besar buat Rodgers.

"Ia kemenangan yang sangat penting buat kami," katanya.

"Cukup mustahak.

"Kami kini mengumpul 66 mata, iaitu mata yang sudah memadai untuk layak ke UCL musim lalu.

"Ini adalah satu langkah besar tetapi masih ada dua perlawanan yang harus dilalui dan beberapa pasukan terus menghambat kami, jadi kami ada tugas yang perlu dilakukan."




Leicester, yang akan berentap dengan Chelsea dalam final Piala FA tengah malam minggu ini, masih mempunyai dua perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk berkunjung ke kem The Blues selain melayani kunjungan Tottenham di tempat sendiri.

"Ini adalah peringkat musim ini di mana kami menagih setiap kemenangan, setiap mata sangat penting," katanya lagi.

"Ini adalah satu lagi kemenangan buat kami ketika menentang enam kelab teratas dan seperti yang anda lihat, ia akan menjadi sangat, sangat penting bagi kami dan di mana kami akan menamatkan kedudukan musim ini."

Sempena final Piala, Rodgers menambahkan: "Anda boleh melihat kualiti pasukan mereka tetapi kami akan bersedia.

"Kami akan menantikannya dan kami akan berjuang untuk menjadi pasukan pertama dalam sejarah Leicester City yang memenangi Piala FA."