Bekas pemain sayap Arsenal, Jose Antonio Reyes, menyifatkan legasi Arsene Wenger sebagai sesuatu yang sukar untuk ditandingi oleh mana-mana pengurus.

Wenger bakal meninggalkan The Gunners selepas 22 tahun berkhidmat, antaranya mengemudi pasukan memenangi tiga kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan tujuh Piala FA.

Reyes, yang bermain untuk Arsenal pada 2004 hingga 2007, menyertai pasukan pada pertengahan musim mereka bergelar 'Invincibles' pada 2003-04, menyaksikan mereka memenangi kejuaraan EPL tanpa sebarang kekalahan.

Dan bekas pemain kebangsaan Sepanyol itu percaya bahawa pengganti Wenger akan menghadapi kesukaran mengulangi kejayaan pengendali berusia 68 tahun itu.

"Beliau meninggalkan satu legasi yang besar buat EPL dan Arsenal," kata Reyes.

"Apa yang Wenger telah lakukan sukar untuk ditandingi.

"Beliau memiliki personaliti sebagai pengurus, mengetahui setiap langkah yang perlu diambil.

"Wenger memberikan impak besar dalam karier saya," katanya lagi.