Tenggelam pada awal musim, kini pemain tengah Terengganu FC, Lee Tuck memperoleh semula rentak selepas berjaya membantu skuad Peteh menundukkan Perak 4-1 di Ipoh sekaligus mara ke saingan suku akhir Piala Malaysia lebih awal.

Sebelum ini, pemain pinjaman Sri Pahang itu jarang meraih tempat dalam kesebelasan utama ekoran kecederaan berpanjangan dialami.

Lee Tuck yang kembali bersama Terengganu pada jendela perpindahan kedua lalu, membantu Terengganu meledak dua jaringan di minit ke 54 dan 83.



Ketika ini, pemain kelahiran England itu merupakan penjaring kedua terbanyak Piala Malaysia dengan empat gol.

"Saya sangat gembira dengan persembahan yang telah ditampilkan, kami telah meraih tiga kemenangan dan mahu meneruskan rentak ini. Selepas menjaringkan gol, kami lebih selesa dan mudah menghasilkan peluang," kata Lee Tuck.

Pengendali Terengganu, Nafuzi Zain, lega anak buahnya berjaya selesaikan misi meraih tiga mata di tempat lawan.

Bagaimanapun, Nafuzi mengakui perlu menambah baik benteng pertahanan menjelang pertemuan sekali lagi menentang Perak di Kuala Terengganu.

"Terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki terutama daripada gerakan dan bertahan. Kami akan menilai semula sebelum menghadapi aksi berikutnya," kata Nafuzi.