Marcus Rashford menjadi pemain ketiga termuda untuk menjaringkan 50 gol dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) Manchester United ketika membuka jaringan berdepan Leicester City.

Selepas peluang terhidang pada minit pembukaan gagal dilunaskan, Rashford meledak gol keenam dalam saingan EPL musim ini untuk meletakkan United mendahului 1-0.

Berusia 23 tahun dan 56 hari, Rashford hanya di belakang Wayne Rooney (22 tahun dan 157 hari) dan Cristiano Ronaldo (22 tahun 341 hari) daripada segi pemain termuda United yang mencapai 50 gol EPL.

Kelebihan United bersifat sementara apabila lapan minit kemudian, Harvey Barnes meledak gol penyamaan buat skuad kendalian Brendan Rodgers.

Perlawanan berakhir dengan keputusan 2-2, di mana Fernandes meletakkan United di hadapan sebelum Jamie Vardy memastikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata di Stadium King Power, sekaligus menamatkan rekod kemenangan The Red Devils di tempat lawan.