Le Tissier lepas peranan duta Southampton atas pendirian perang

Shaiful Shamsudin
April 7, 2022 03:26 MYT
Pemain legenda Southampton, Matt Le Tissier, meletakkan jawatannya sebagai duta kelab itu selepas menyokong pandangan kontroversi mengenai pencerobohan Russia ke atas Ukraine.
Le Tissier berkongsi teori konspirasi di media sosialnya mengenai pembunuhan yang jelas secara sengaja dilakukan terhadap orang awam di Bucha dan beberapa kawasan lain sebelum pengunduran tentera Russia.
Bekas pemain berusia 53 tahun itu menggunakan akaun Twitter rasminya untuk menulis perkataan "Ini" disertai emoji tangan menunjuk ke arah ciapan yang mendakwa media telah berbohong mengenai peristiwa itu.
Dia kemudian memadamkan siaran itu dan berkata "inti ciapannya adalah mengenai manipulasi media".
Le Tissier -- yang mewakili The Saints di antara 1986 dan 2002 -- menawarkan penjelasan lanjut dengan menciap: "Biar saya jelaskan sesuatu. Saya tidak menyokong sebarang peperangan dalam apa jua bentuk.
"Saya tidak menganjurkan sesiapa agar meragut nyawa orang lain dan sesiapa yang melakukan perbuatan sedemikian harus ditangani dengan sewajarnya, sebarang kekejaman akan meninggalkan kesan buruk kepada keluarga mangsa dan kita semua."
Kemudian, dia menambah: "Kepada semua peminat (Southampton). Saya memutuskan untuk mengetepikan peranan saya sebagai duta SFC. Pandangan saya adalah bersifat peribadi dan sentiasa begitu, adalah penting untuk mengambil langkah ini demi mengelakkan sebarang kekeliruan.
“Ia tidak menjejaskan hubungan saya dengan dan cinta kepada kelab ini, saya akan sentiasa kekal sebagai peminat dan penyokong semua Saints.
“Bagaimanapun, disebabkan peristiwa baru-baru ini saya lihat adalah penting untuk tidak mencampur adukkan soal kerja di kelab yang saya sokong dan wakili sepanjang hayat ini.
"Saya akan terus bertemu anda semua lagi di St Mary's dan akan sentiasa melakukan apa sahaja yang termampu untuk membantu kelab."
#Southampton #Matt Le Tissier #EPL #Liga Perdana Inggeris