Pengurus Paris Saint-Germain (PSG), Mauricio Pochettino, mendedahkan bahawa Mauro Icardi akan sedia dipertaruhkan untuk pertembungan 'Le Classique' di Marseille, awal pagi esok.

Pemain berusia 28 tahun itu terlepas beberapa sesi latihan dan tidak dinamakan dalam skuad yang menewaskan RB Leipzig 3-2 dalam Liga Juara-Juara (UCL) berikutan masalah peribadi, tetapi Pochettino mengesahkan bahawa penyerang tersebut kini sedia diturunkan.

Icardi merupakan penjaring kedua tertinggi PSG dalam kempen liga dan telah terlibat sekurang-kurangnya 300 minit permainan dengan purata gol dalam setiap 159.67 minit.

"Mauro merupakan pemain yang kuat daripada segi mental," kata Pochettino.

"Dia sempat berlatih bersama kami sebelum ke Leipzig, walaupun dia tidak disenarai ke sana dan kembali dua hari kemudian.

"Dia akan bersama kumpulan hari ini. Kelab, daripada presiden hingga ke kakitangan akan menyokongnya dan jika perlu khidmatnya akan ditagih. Tetapi dia dalam keadaan yang bagus, bersedia."



Pochettino juga mendapat perkhabaran gembira apabila Neymar kembali cergas sejak kelmarin tetapi Leandro Paredes masih tersisih hingga jadual antarabangsa seterusnya. Begitu juga duo Sepanyol, Sergio Ramos -- yang masih belum melakukan kemunculan pertama -- dan penjaga gol simpanan, Sergio Rico, yang dijangka akan kembali berlatih dalam tempoh seminggu lagi.

Bekas pengurus Tottenham dan Southampton itu sedia menikmati perlawanan istimewa di antara pendahulu Ligue 1 berkenaan dengan Marseille yang menguasai tempat ketiga.

"Pertembungan esok adalah berbeza," tambahnya.

"Saya pernah menempuhinya sebagai pemain dan pengurus tahun lalu.

"Kami saling mengenali dengan baik, ia akan menjadi satu perlawanan yang istimewa. Kami bukan sahaja mengidamkan tiga mata malah kebanggaan, kegembiraan."

PSG berada di puncak Ligue 1 dengan 27 mata daripada 10 perlawanan menerusi sembilan kemenangan dan kalah sekali, sementara Marseille di tempat ketiga dengan 17 mata namun mereka masih mempunyai kelebihan perlawanan.