Rekod tanpa bolos Kota Setar antara yang perlu diberi perhatian skuad Felda dalam misi memburu kejuaraan buat julung kalinya dalam final Liga Bolasepak Rakyat (LBR) Wanita.

LBR Wanita julung kali diadakan bermula sejak 3 Februari lalu dan kemuncaknya menyaksikan Felda bakal membuat perhitungan terakhir dengan Kota Setar di Stadium Mini UPM, Serdang, Ahad ini.

Ketua jurulatih Felda, Rozmi Musa, menjanjikan aksi sengit anak buahnya di mana mereka harus berwaspada dengan kehebatan lawan yang masih mengekalkan rekod tanpa bolos sepanjang saingan peringkat kumpulan.

"Kota Setar adalah sebuah pasukan yang hebat. Menjelang dua hari terakhir final nanti, saya akan membuat pemain saya fokus untuk menghadapi lawan," ujar Rozmi.

Zulkifli Jaafar selaku jurulatih Kota Setar pula enggan memberi tekanan kepada anak buahnya menjelang aksi final memandangkan sasaran awal mereka sudah tercapai.

"Apabila dah sampai ke final ini, kami akan cuba memberikan saingan terbaik.

"Kami akui Felda sebuah pasukan yang mantap kerana sebahagian besar pemainnya terdiri daripada pemain futsal kebangsaan.

"Jadi, kombinasi itu bagus untuk Felda," katanya.

Pengerusi LBR, Datuk Dr. Shamsul Anwar Sulaiman, berpuas hati dengan tahap saingan 14 pasukan musim ini, selain menjanjikan penyertaan lebih banyak di seluruh negara, musim depan.